Papan Iklan

Saturday, February 11, 2012

Politikus


Semalam. Saya menghadirkan diri ke balairaya berhampiran dengan rumah di kampung. Ada jiran bagi tahu yang kerajaan negeri ada memperuntukkan sejumlah RM200.00 setiap seorang dengan syarat-syarat tertentu di bawah nama peruntukan remaja yang berumur antara 21-30 tahun (Oh! saya masih tergolong dalam kategori remaja rupanya).

Apa yang saya nak kongsikan di sini adalah sikap penduduk kampung saya sendiri. Yang sama agama dengan saya. Yang sama bangsa dengan saya. Dan juga yang sama kulit dengan saya. Menurut jiran saya, perjumpaan di balairaya di jadual pada pukul 9.00 malam untuk taklimat dan juga pembahagian borang. Dan saya telah tiba tepat pada waktu yang dinyatakan dengan kakak saya.

Setibanya saya di sana, hanya beberapa orang saja yang kelihatan. Itu pun adalah AJK balairaya tersebut. Saya menghampiri mereka yang sedang rancak berborak untuk bertanyakan hal lebih lanjut. Tetapi, kehadiran saya tidak diendahkan. Mereka seolah-olah berlagak yang saya tidak wujud di situ. Saya terus menunggu. Waktu sudah hampir 9.20 malam. Orang ramai makin bertambah. Bukan untuk memenuhi kerusi kosong yang telah disediakan sebaliknya sibuk lepak di luar halaman dan bersembang secara berjemaah.

Saya masih terus bersabar. Saya fikir mungkin mereka akan bermula pada pukul 9.30 malam. Tetapi hampa. Masa saya terus berlalu dek menunggu mereka yang kononnya orang penting malam itu. Janji melayu. Setelah orang ramai makin memenuhi ruang halaman dan malu untuk masuk ke dalam balairaya, AJK terpaksa memanggil mereka beberapa kali sehingga menjerit-jerit. Bagi saya, sikap ini tidak seharusnya ditonjolkan. Inilah faktor kenapa program yang sepatutnya berjalan tepat pada waktunya gagal dilaksanakan.

Hati saya mula mendidih. Saya cadangkan pada kakak jika keadaan masih berlarutan begitu, kami akan bergerak balik pada pukul 10.00 malam. Dan 5 minit sebelum pukul 10.00 malam, mereka memulakan taklimat. Saya dan kakak mendengar sambil lewa saja. Kerana, ucapan dan taklimat yang disampaikan lebih kepada 'mengkondemkan pihak-pihak lawan'. Atau dengan kata lain, ibarat sembang politik di kedai kopi.

Minta maaf encik yang memberi ucapan dan taklimat malam semalam. Sesungguhnya, fakta yang disampaikan adalah tidak dapat di terima oleh saya dan kakak secara 100% dek akal kami. Kami bukannya mudah untuk dikelentong oleh kata-kata encik. Walaupun saya bukannya kemaruk sangat RM200.00 tersebut, akan tetapi, kehadiran saya pada malam semalam hanyalah untuk mendapat info tentang peruntukan tersebut saja. Tetapi malangnya, dengan sikap yang ditunjukkan oleh pihak encik semua, membuatkan saya dan kakak amat kesal dengan kedatangan kami ke situ. Kami terus balik sebaik saja mereka sibuk membahagikan borang.

Jika sikap encik-encik dan AJK-AJK masih berterusan begitu, saya fikir, memang tak akan sampai ke mana. Tidak profesional. Tidak ada tatatertib. Dan masih di bawah tempurung. Terus terang saya katakan, saya dan kakak bukan tergolong dalam kumpulan tersebut. Betullah kata adik saya, "Mereka utamakan kaum keluarga dan kroni mereka saja" (sebelum tu, adik membangkang kehadiran kami ke balairaya tersebut). Sejujurnya, saya tidak memerlukan orang-orang sebegitu sebagai pemimpin kampung saya.

3 comments:

nasyrun said...

tiap2 kampung ada ke ni?

jgn lupa aku masih lagi 30 haha

Firol said...

Kebenaran yang semakin terlindung

jedi said...

Mereka adalah transfomers yang boleh bertukar bila-bila masa saja....demi kepentingan kroni mereka...sekian...